Announcement

Assalamualaikum w.r.t and Good Day .... SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI... MAKLUM BALAS DARI IBUBAPA ATAS APA SAJA ISU BERKAITAN SEKOLAH..AMAT KAMI HARGAI..TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN TN/PN

Terima Kasih dari Biro Komunikasi PIBG SMKBSD1

Tuesday, May 31, 2011

Berhati-hati Apabila Menggunakan MP3

WRITTEN BY SITI RAHAYU ZAKARIA
THURSDAY, 19 MAY 2011 11:08

Memang menjadi satu fenomena biasa pada hari ini apabila melihat remaja dan generasi muda memakai fon telinga di telinga mereka. Gaya hidup digital telah menular dalam kalangan remaja sejak tahun 1990-an lagi. Perkembangannya ini semakin rancak seimbang dengan peningkatan teknologi iaitu pengguna menggunakan MP3 menerusi telefon bimbit, iPod, komputer, PDA, USB, walkman dan sebagainya.

Budaya ini bagaikan tsunami yang melanda gaya hidup remaja. Kebanyakan mereka menghabiskan masa seharian tanpa jemu dengan alat-alat kecil ini.

Tambahan pula, terbaru dilaporkan terdapat MP3 yang mampu tahan lebih lama tanpa perlu selalu dicas dengan ruang simpanan fail muzik yang lebih banyak.

Kebanyakan penggemar MP3 mungkin mengetahui kesan bahawa mendengar muzik dengan bunyi kuat akan merosakkan pendengaran. Kajian menunjukkan kerosakan pendengaran disebabkan muzik yang kuat yang ditentukan oleh tempoh masa mendengar MP3. Ia membawa maksud sekiranya penggemar MP3 merendahkan bunyi muzik /MP3, mereka masih terdedah dengan kehilangan pendengaran sekiranya masih memasang fon telinga untuk tempoh masa yang panjang.

Menurut kajian dari British, 39% remaja berumur 18 hingga 24 tahun mendengar muzik sekurang-kurangnya satu jam sehari sehingga 105 disibel. Remaja ini telah mendedahkan telinga mereka pada satu tahap bunyi bising dan kadaran sepatutnya adalah tidak melebihi 25 minit setiap minggu. Penggemar perlu mengetahui maklumat kadar paras bunyi disibel pada peralatan MP3 tersebut sebelum membeli dan kadar pendengaran normal adalah antara 0 hingga 20 desibel.

Pengguna dan penggemar MP3 perlu mempertimbangkan penggunaan dan mengenalpasti kesannya kepada telinga. Kemungkinan remaja boleh kehilangan pendengaran pada usia yang muda sekiranya tidak didedahkan tentang kesan menggunakan MP3 ini. Industri pengeluar MP3 diharapkan lebih bertanggungjawab dengan mengambil kira risiko dan kesan akibat pengeluaran MP3 yang tidak berkualiti tanpa meletakkan sebarang tanda amaran pada pembungkusan produk.

Di Malaysia, pengeluar boleh mengguna pakai standard MS 301 489-6:2009 Specific Conditions for Digital Enhance Cordless Telecommunications (DECT) Equipment sebagai panduan dalam produk digital seumpama ini.

Tip Penggunaan MP3

Langkah 1 : Rendahkan bunyi muzik MP3
Mulakan dengan merendahkan bunyi muzik pada tahap 10 ke tahap 9 atau 8. Sekiranya anda telah dapat menerima tahap bunyi ini, cuba rendahkan kepada tahap seterusnya. Mungkin pada awalnya agak sukar tetapi ia adalah tidak mustahil.

Langkah 2 : Kurangkan masa dedahan dan frekuensi
Setelah anda rendahkan bunyi muzik, latih telinga anda untuk berehat setiap 10 hingga 15 minit. Nikmati bunyian di sekeliling anda, sama ada anda berada di dalam kesesakan atau sedang berjogging. Seterusnya, anda boleh mengurangkan masa menggunakan fon telinga seperti contoh sebelum ini anda menggunakannya 1 jam sehari dan mengurangkan kepada 30 minit sehari. Jika anda telah selesa pada tahap ini, cuba kurangkan kekerapan mendengar MP3 kepada beberapa hari.

Langkah 3: Membuat ujian pendengaran secara berkala
Jadikan langkah ini sebagai satu kebiasaan dan lakukan ujian pendengaran sekurang-kurangnya setahun sekali. Anda harus mengambil tangungjawab untuk menjaga kesihatan telinga anda bagi menghalang kesan-kesan negatif yang boleh mempengaruhi kehilangan pendengaran.

Siti Rahayu Zakaria
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Monday, May 23, 2011

Tip Keselamatan di Pusat Gym

WRITTEN BY SAM WONG CHIN KAH
THURSDAY, 12 MAY 2011 10:31

Berekreasi di pusat gym merupakan satu aktiviti yang boleh melegakan badan dan menghilangkan tekanan. Walau bagaimanapun, jika peralatan gym tidak digunakan dengan betul, ia akan mengakibatkan kecederaan yang serius.

Jadi, semasa berada di dalam pusat gym, beberapa perkara yang perlu anda ketahui dan mengambil langkah-langkah pencegahan.

Tip-tip keselamatan
Mengetahui keadaan anda sendiri
  • Menyemak kecergasan anda sebelum anda memulakan sesuatu program senaman. Anda mungkin perlu mengubah atau mengelakkan aktiviti angkat berat jika anda mempunyai masalah otot atau sendi, gangguan kejang, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, luka yang belum sembuh atau keadaan fizikal lain yang akan mendatangkan risiko.
  • Salah satu prinsip utama keselamatan gym adalah jangan bersukan apabila anda berasa lemah atau sakit. Ini akan mencederakan anda sendiri.
  • Melakukan pemanasan badan sebelum latihan aerobik, ia kerana melibatkan latihan ulangan yang meningkatkan denyut jantung anda. Meregangkan otot sebelum menjalankan latihan yang berat. Jangan mencederakan otot anda tanpa mempersiapkan mereka secara mencukupi.
  • Memahami cara operasi peralatan anda.
  • Pastikan anda tahu bagaimana sesebuah peralatan latihan berfungsi sebelum menggunakannya. Baca arahan bertulis atau diagram pada mesin, atau meminta pelatih untuk mengajar anda. Mulai dengan peralatan lebih ringan untuk membiasakan diri dengan gerakan yang digunakan pada mesin, lalu menaikkan berat pera yang dikehendaki.
Memeriksa keselamatan semua peralatan dan kabel
  • Ini bergantung pada mesin yang anda guna. Sebagai contoh, di atas treadmill, kabel kecemasan untuk berhenti akan dipasang di baju anda. Di mesin angkat berat, pastikan pin berat dimasukkan untuk mengekalkan pemberat itu. Berhati-hati terhadap sebarang kebocoran pada kabel yang menahan pemberat tersebut. Pada berat bebas, pastikan pemberat diletak di atar bar dan tidak terjatuh.
Menggunakan tali pinggang angkat berat
  • Ketika mencangkung, angkat berat, gunakan tali pinggang angkat berat untuk melindungi bahagian bawah daripada kecederaan. Walaupun dengan posisi badan yang betul, perubahan berat secara tiba-tiba atau percubaan yang berulang-ulang akan memberikan tekanan yang tinggi pada badan anda. Jadi tali pinggang angkat besi akan melindungi tulang belakang dan bahagian bawah tubuh anda.
Gunakan spotter semasa angkat berat.
  • Jika anda cuba angkat berat pada keberatan yang maksimum atau berulang-ulang, anda harus menggunakan spotter. Spotter boleh membantu anda menahan keberatan itu jika anda cedera semasa percubaan.
Amalan yang baik
  • Selepas senaman anda, letakkan semua peralatan di tempat yang sama. Membiarkan mereka di merata tempat boleh mencederakan ahli yang lain. Cuci tangan selepas latihan, ini dapat mengurangkan risiko pendedahan tangan anda pada virus yang tidak diketahui.
Ingatan
  • Minum air selepas latihan anda. Ini mencegah dehidrasi dan membantu prestasi latihan yang lebih baik.
  • Hentikan aktiviti sukan anda jika anda berasa pening, pengsan atau perubahan irama jantung.
  • Setiap peningkatan atau penurunan tekanan darah yang signifikan tidak boleh diabaikan.
  • Menghentikan aktiviti senaman jika anda berasa kesesakan di bahagian dada, bahu dan sekitarnya.
Sam Wong Chin Kah
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Friday, May 13, 2011

Buli di Sekolah – Ibu Bapa Dan Guru Perlu Mainkan Peranan

WRITTEN BY ADMINISTRATOR
SATURDAY, 20 MARCH 2010 05:07

Sekolah merupakan sebuah institusi yang amat penting bagi sesebuah negara. Di sinilah generasi pemimpin dan peneraju negara pada masa hadapan, dididik dan dibentuk. Begitu juga, institusi sekolah merupakan tempat memupuk dan membentuk jati diri dan semangat patriotisme anak bangsa, di samping berfungsi sebagai tempat pendidikan akademik dan kemahiran.

Namun begitu laporan-laporan akhbar menunjukkan kes jenayah juvana dalam kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi, yang sedikit sebanyak menjejaskan peranan sekolah sebagai pembentuk jati diri dan pendidikan generasi masa hadapan negara.
Kebanyakan masalah jenayah di sekolah bermula dengan masalah buli. Buli merupakan satu bentuk penyalahgunaan melalui perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan diri. Buli boleh berlaku dalam bentuk fizikal seperti memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut atau mencubit. Manakala, buli mental lebih kepada ejek-mengejek, mengusik dan menghina. Secara umumnya perlakuan buli lebih cenderung berlaku dalam kalangan pelajar lelaki, sama ada secara individu atau berkumpulan.
Namun begitu perlakuan buli dalam kalangan pelajar perempuan tidak harus diketepikan, malah ia semakin meningkat. Bermula dengan kes Sherman Mohd Jaafar, 14, yang mengalami kecederaan parah di tengkuk serta belakang badan selepas dibelasah oleh lima orang pelajar seniornya di asrama sebuah sekolah menengah di Tumpat, Kelantan. Baru-baru ini, kes buli di Kuching yang melibatkan lima pelajar perempuan sekolah menengah yang melakukan kekerasan terhadap mangsa secara beramai-ramai telah melahirkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya para ibu bapa. Keadaan ini menimbulkan suasana yang tidak aman dan selamat di sekolah.

Sesungguhnya isu buli di sekolah tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja. Ia memerlukan komitmen daripada semua pihak, baik guru, ibu bapa atau pelajar itu sendiri bagi memastikan institusi sekolah menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan samseng. Perbuatan membuli, sama ada untuk berseronok atau kerana benci dan ingin membalas dendam, tidak sewajarnya menjadi budaya yang menunjangi institusi sekolah.

Pelbagai faktor mempengaruhi seorang pelajar terlibat dalam gejala buli. Antaranya, latar belakang keluarga, rakan sebaya, kurang didikan agama, persekitaran dan budaya sekolah serta media massa. Maka, jelaslah bahawa latar belakang sesebuah keluarga dan persekitaran serta budaya sekolah amat mempengaruhi perkembangan seseorang individu. Ibu bapa perlulah meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak. Ibu bapa perlulah senantiasa peka terhadap pemilihan rakan sebaya oleh anak-anak mereka, mengambil tahu akan setiap aktiviti yang anak-anak mereka terlibat.

Selain itu, pelajar meluangkan lebih banyak masa di sekolah berbanding di rumah. Guru merupakan ibu dan bapa kepada pelajar di sekolah. Sebagai seorang guru dan ibu bapa kepada pelajar di sekolah, para guru haruslah arif dengan dapat mengesan sebarang tanda-tanda negatif atau perubahan dalam diri seseorang itu. Seumpamanya, melihat gelagat pelajar yang sentiasa periang di sekolah telah berubah identitinya dengan mendiamkan diri dan mengasingkan diri. Ia mungkin memaparkan tanda-tanda seseorang pelajar itu mungkin dibuli atau terlibat dalam sebarang masalah. Justeru, ibu bapa dan guru memainkan peranan yang setanding dalam pembentukkan seseorang individu. Dengan ini, ia dapat membanteras anak-anak muda pada hari ini daripada terjebak dalam kancah gejala seperti ini.

Walaupun, semua faktor ini mempengaruhi emosi dan pembentukan seorang individu, namun individu itu sendiri seharusnya menyedari kesan yang akan wujud pada masa akan datang akibat daripada tindak-tanduknya pada hari ini. Mereka juga hendaklah menilai dengan rasional bahawa penglibatan dalam gejala-gejala sosial seperti ini bukan sahaja meningkatkan kadar jenayah di Malaysia tetapi akan menghancurkan segala impian dan kerjaya seorang pelajar. Ini secara tidak langsung memalapkan masa depan pelajar itu sendiri dan mangsa buli.

Sharala Devi Thyakaran
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)